Periuk atau kuali yang tidak melekat (nonstick) sememangnya menjadi pilihan ramai untuk memudahkan proses memasak. Ciri-ciri produk memasak seperti ini sangat membantu buat pengguna yang mempunyai kekangan masa disebabkan oleh kerja harian dan sebagainya. Bukan sahaja berguna, periuk ini juga boleh didapatkan dalam pelbagai bentuk dan warna yang menarik untuk menepati citarasa deko dapur anda.
Tetapi, adakah anda tahu cara penggunaan yang betul agar kuali atau periuk non-stick anda tidak cepat rosak dan kualitinya kekal untuk jangka masa yang panjang? Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah:
- ELAKKAN KUALI TERBIAR PANAS TANPA MINYAK
Elakkan daripada membiarkan kuali atau periuk non-stick terbiar panas di atas dapur terlalu lama tanpa minyak sehingga asap terhasil daripada lapisan non-stick kuali tersebut. Hal ini kerana, dikhuatiri salutan yang menyelaputinya mungkin akan menipis dan pecah sehingga menyebabkan bahan karsinogenik terbebas seperti yang dijelaskan oleh Professor Robert L. Wolke dari University of Pittsburgh. (sumber: goodhousekeeping.com)
- ELAKKAN MENGGUNAKAN API YANG TERLALU BESAR
Sekiranya menggunakan kuali atau periuk non-stick, pengguna disarankan untuk menggunakan api yang perlahan dan sederhana sahaja. Pastikan suhu yang digunakan bawah daripada 500°C bagi mengelakkan lapisan salutan non-stick cepat rosak dan mengekalkan kualiti kuali anda. Jadi, sekiranya anda ingin memasak masakan yang memerlukan jangka masa lama, anda disarankan untuk menggunakan kuali yang lebih sesuai seperti cast-iron pot.
- ELAKKAN MENGGUNAKAN PERALATAN LOGAM
Sekiranya anda memasak dengan kuali atau periuk non-stick, anda dilarang sama sekali menggunakan peralatan logam seperti sudip atau senduk besi. Hal ini kerana, sekiranya peralatan besi bergesel dengan permukaan kuali, ia akan menyebabkan kuali tersebut tercalar. Apabila permukaan non-stick tercalar, keberkesanannya akan terjejas.
Sebaiknya, gunalah peralatan daripada kayu, silikon dan plastik tahan panas semasa memasak menggunakan kuali atau periuk non-stick.
4. ELAKKAN MENGGUNAKAN BERUS BESI UNTUK BERSIHKAN PERIUK NON-STICK
Berus besi juga tidak boleh digunakan untuk membersihkan kuali atau periuk non-stick. Hal ini adalah untuk menggelakkan kuali cepat tercalar dan mengurangkan jangka hayat kuali non-stick tersebut.
Jadi, alat yang sesuai digunakan untuk membersihkan kuali non-stick dengan selamat adalah dengan menggunakan span lembut. Kuali non-stick tidak akan meninggalkan kesan degil sehingga memerlukan penggunaan dawai besi untuk membersihkannya. Tetapi, sekiranya berlakunya kotoran degil yang sukar ditanggalkan, anda digalakkan untuk merendam terlebih dahulu kuali tersebut kemudian basuh menggunakan span lembut. Tetapi, perlu dititikberatkan juga, kuali tidak boleh direndam air ketika masih panas untuk mengelakkan kerosakan pada permukaan kuali tersebut.
5. ELAKKAN SUSUN PERALATAN SECARA BERLAPIS (STACKING)
Selepas membersihkan peralatan non-stick, anda disarankan untuk menggantung perkakas tersebut bagi mengelakkan coating tercalar. Tetapi sekiranya tiada ruang untuk menggantung, anda boleh menyusun peralatan non-stick secara berlapis dengan kain atau kotak di antara peralatan tersebut. Hal ini untuk mengurangkan risiko perkakas bergesel antara satu sama lain dan menyebabkan kerosakan.