Adab di meja makan merangkumi pelbagai aspek. Bermula daripada cara anda menerima jemputan dan memaklumkan kepada hos, ketibaan di majlis, cara berpakaian, cara menggunakan kutleri dan sebagainya.
PENGGUNAAN PISAU, GARFU DAN SUDU
Penggunaan pisau, sudu dan garfu selalunya dikaitkan dengan makanan ala barat. Biasanya makanan mengandungi daging atau ayam yang dihidangkan dalam saiz yang besar memerlukan pengguna memotong terlebih dahulu sebelum makan. Contoh makanan ialah steak, lamb chop, chicken chop dan sebagainya.
Pisau pula hendaklah dipegang menggunakan tangan kanan manakala garfu pula dipegang menggunakan tangan kiri. Sudu dan garfu hendaklah dipegang secara mendatar dengan mengimbanginya dengan jari telunjuk dan stabilkan lagi kedudukan menggunakan ibu jari. Sudu dan garfu yang telah digunakan tidak boleh diletakkan di atas alas meja kerana akan mengotorkan alas meja tersebut. Cara yang betul adalah dengan meletakkan sudu dan garfu di tepi piring yang digunakan untuk melapik mangkuk.
Selain itu, menggunakan kutleri yang sesuai dengan hidangan yang dihidangkan juga amat penting dalam sesebuah majlis. Antaranya ialah:
- Sup – Sudu sup biasanya agak dalam dan berbentuk bulat. Sup mestilah dihirup dengan perlahan-lahan tanpa mengeluarkan bunyi. Hal ini kerana perbuatan tersebut dikira agak kurang sopan.
- Salad – Garfu salad biasanya lebih kecil berbanding garfu biasa.
- Asparagus – Sekiranya asparagus tidak disaluti dengan sos, anda boleh makan menggunakan tangan sahaja. Tetapi sekiranya asparagus disaluti dengan sos, gunakan garfu yang disediakan untuk salad.
- Ikan – Garfu yang dikhaskan untuk ikan biasanya lebih pendek berbanding garfu untuk daging.
- Daging – Gunakan garfu utama yang disediakan untuk hidangan daging.
- Pencuci Mulut – Biasanya sudu untuk pencuci mulut dihidangkan bersama dengan mangkuk atau piring sebelum juadah pencuci mulut dihidangkan. Contohnya seperti pudding, bubur dan sebagainya.
- Roti – Roti mesti dicarikkan menggunakan tangan dan jangan sesekali menggunakan pisau untuk memotong roti. Koyak secebis yag sederhana besar dan makan dahulu sebelum mengoyak cebisan roti yang lain. Sekiranya mentega disediakan, gunakan pisau untuk menyapu mentega pada cebisan roti sebelum memakannya. Manakala, sekiranya anda dihidangkan roti ban yang panas, anda dibenarkan untuk memotong ban tersebut memanjang di tengah dan menyapu mentega di rekahan untuk mencairkannya.
- Biskut – Secara lazimnya biskut dimakan dengan menggunakan tangan walaupun mempunyai topping atau hiasan di atasnya seperti hiasan buah-buahan atau jam.
- Jagung – Sekiranya jagung dihidangkan secara butir (kernel), anda boleh menggunakan garfu untuk memakannya. Tetapi sekiranya jagung tersebut dihidangkan secara sebiji-sebiji anda boleh menggunakan tangan untuk memakannya. Sekiranya mentega turut disediakan, gunakan pisau untuk menyapu mentega pada dua baris jagung dahulu dan makan dengan bersih sebelum menyapu dua baris seterusnya.
- Sandwich – Sandwich yang dihidangkan dengan filling yang tidak terlalu tebal atau lembik boleh dimakan menggunakan tangan.
- Buah-buahan kecil bertangkai – Biasanya, anda akan dihidangkan pencuci mulut seperti buah anggur, buah ceria atau strawberi. Buah-buah tersebut anda boleh makan dan mengambilnya dengan tangan. Sekiranya anda tidak mahu menggunakan tangan, anda boleh menggunakan sudu tetapi pastikan buah tersebut tidak melayang atau terjatuh. Untuk buah gugusan seperti anggur, anda boleh memotong sedikit tangkainya dan diletakkan di dalam pinggan anda. Hal ini kerana, sekiranya anda meninggalkan tangkai kosong, hidangan akan nampak kurang elok dan tidak menyelerakan bagi orang lain.