IDEA MENYUSUN ATUR MEJA UNTUK HIDANGAN PETANG – TEA TIME
Teh menjadi satu hidangan yang popular dan digemari. Biasanya teh disajikan dengan pelbagai snek dan kuih- muih. Anda pernah dengar “tea time”? Tea time mulanya terkenal dan berkembang di Eropah di mana tea time dinikmati oleh ahli bangsawan Inggeris untuk menikmati waktu istirehat dengan menikmati hidangan teh dan snek ringan.
Akan tetapi, budaya ini semakin berkembang mengikut peredaran zaman. Tea time kini juga dilakukan dan banyak dipilih sebagai hidangan waktu bersantai bersama keluarga, kawan atau pasangan. Malah tea time juga digunakan sebagai platform untuk bertemu antara kawan sekerja.
Tea time terbahagi kepada dua jenis iaitu Afternoon tea dan High tea. Afternoon tea atau lebih dikenali sebagai low tea akan disajikan di atas meja yang pendek (coffee table) manakala High tea dinikmati terus di atas meja tinggi seperti meja makan. Biasanya afternoon tea dinikmati antara pukul 3 petang hingga 4 petang manakala high tea dinikmati pada pukul 6 petang ke atas. Disebabkan itulah, menu untuk kedua-dua tea time ini berbeza.
Menu untuk afternoon tea biasanya dihidangkan kuih dan snek bersama teh. Contohnya kuih seperti scone, kek, pastry, sandwich, macaroon dan banyak lagi kuih ringan. Manakala untuk high tea pula biasanya dihidangkan makanan berat seperti pai, steak, roti telur dan banyak lagi.
SUSUN ATUR MEJA UNTUK TEA TIME
Penyediaan meja untuk hidangan tea time sangat simple sebenarnya. Sediakan satu atau dua pinggan makan kecil sahaja untuk setiap orang bergantung kepada jenis makanan yang dihidangkan. Letakkan sudu kecil di sebelah kanan pinggan untuk mengacau teh. Sekiranya anda menghidangkan kuih yang melekit atau makanan yang boleh menyebabkan berterabur, sediakan juga garfu kecil di sebelah kiri pinggan. Sediakan juga pisau yang diletakkan diantara pinggan dan sudu kecil dengan sisi tajam menghadap ke pinggan. Untuk cawannya pula, sediakan satu cawan dan piring diletakkan sekali yang disusun sebelah kanan sudu kecil.
HIASAN MEJA
Hiasan meja yang sesuai untuk digunakan semasa waktu siang hari adalah lebih kepada warna terang dan meriah. Namun, anda boleh sahaja menggunakan mana-mana hiasan yang anda suka. Hiasan yang paling umum yang selalu digunakan adalah bunga. Namun, pastikan anda memilih bunga yang tidak berbau terlalu kuat sehingga mengganggu suasana meja makan. Ataupun, anda boleh menaburkan kelopak bunga mawar di atas meja dan meletakkan bunga yang beraroma lembut dalam pasu kecil.
Yang paling penting, pastikan hiasan tidak terlalu padat sehingga menyukarkan tetamu untuk mendapatkan makanan yang dihidang. Tipsnya adalah pastikan anda hidang dahulu makanan dan minuman kemudian barulah serikan lagi dengan hiasan seperti kelopak bunga atau pasu bunga yang sepatutnya.